ARTIKEL

MENDAPAT 'A' TIDAK SEMESTINYA PINTAR.

KANAK-KANAK belajar menerusi pelbagai dimensi dan perlu belajar menyelesaikan masalah menerusi pengalaman peribadi serta belajar menerusi proses mencuba cuba jaya. Dengan menawarkan pelbagai pengalaman belajar, kita boleh mengajar mereka melihat dan mentafsirkan sesuatu perkara dari berbilang perspektif, berbanding dengan cara tunggal memahami maklumat yang disampaikan mereka seperti yang diajar menerusi buku.

Itulah pendapat Ahli Psikologi Pendidikan Klinikal dan Penasihat Panel KidsHealth, Kana Kanagasingam.

Kira-kira 100 ibu bapa yang menghadiri bengkel Teknik Mengoptimumkan Potensi Anak anjuran KidsHealth, satu rancangan kemasyarakatan yang dimulakan syarikat multinasional GlaxoSmithKline Consumer Healthcare untuk memberi maklumat berunsur pendidikan kepada ibu bapa pada hari ini.

Kanagasingam, yang juga pengajar Brain Gym atau Kinesiologi Pendidikan berkelayakan dan berpengalaman kerja 23 tahun dalam bidang ini, mencadangkan agar ibu bapa tidak terlalu menekankan pembelajaran dua dimensi menerusi buku dan komputer, sebaliknya harus memperkembangkan perspektif tiga dimensi dunia sebenar anak mereka.

Kanagasingam berkata, mereka mungkin secara tidak sedar memberi tekanan kepada anak mereka apabila terlalu menumpukan kepada prestasi akademik.

Ujian akademik biasanya menguji keupayaan kanak-kanak untuk menghafal maklumat dan bukannya memahami, menganalisis dan menghasilkan semula maklumat itu dengan cara yang kreatif dan bermakna.

“Seorang kanak-kanak yang mendapat semua A tidak semestinya pintar. Sekiranya beliau dapat menerima maklumat dan menggunakannya untuk menyelesaikan masalah atau menggunakan dengan cara imaginatif, kanak-kanak itu mampu berfikir dan memanfaatkan potensi intelektualnya,” kata beliau.

“Ramai ibu bapa hari ini tidak sedar apa yang mereka lakukan kepada anak mereka. Lihat di sekeliling anda dan kaji kehidupan anak kita. Mereka pergi sekolah, pulang ke rumah, buat kerja rumah, menonton TV atau main komputer, makan, tidur dan meneruskan proses itu berulang-ulang kali. Di samping itu, ibu bapa menambah kelas tuisyen kepada jadual rutin itu.

“Dengan menekankan kecemerlangan akademik, kita sebenarnya mengehadkan keupayaan pembelajaran anak dan bukannya meningkatkannya,” tambah Kanagasingam.

“Apabila kanak-kanak menghadapi tekanan, mereka bertukar kepada sikap bertahan.” Ini bermakna mereka mengelakkan diri atau enggan melakukan perkara yang menekankan mereka, atau menunjukkan tanda ketakutan atau kebimbangan, atau bersikap atau bertindak balas secara agresif.

“Reaksi tingkah laku ini adalah cara mereka menangani keadaan apabila mereka tertekan dan tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah atau keadaan yang dihadapi. Kanak-kanak yang mengalami autistik teruk sentiasa bersikap bertahan dan memencilkan diri mereka dari dunia luar. Apabila dalam keadaan ini, mekasnisme pembelajaran sebenarnya tidak berfungsi,” jelas beliau.

Kata Kanagasingam, hidup kanak-kanak kini tersusun dan tiada peluang untuk meneroka dunia luar. “Kita sebagai ibu bapa membesar dengan memanjat pokok dan bermain permainan yang memerlukan lebih banyak pergerakan daripada mengawal tetikus atau kayu bedik komputer dan terdedah kepada lebih banyak pengalaman yang dapat membantu kita membangunkan kemahiran fizikal dan mental,” kata beliau.

Beliau menasihatkan ibu bapa meluangkan masa melakukan kegiatan berbeza dalam rutin kanak-kanak sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan, untuk mendedahkannya kepada pelbagai pengalaman dalam kehidupan beliau yang sama dan membosankan. Ini akan memperluaskan pembelajaran menerusi pengalaman, yang seterusnya dapat membantu meningkatkan kefahaman dan potensi pemikiran kanak-kanak.

Bengkel Mary Easaw-John, seorang ahli pemakanan berkelayakan dengan pengalaman selama 17 tahun dan penasihat panel Kidshealth, telah menjadi pengajar pada bengkel Masakan Berkhasiat Untuk Anak Anda, yang diadakan serentak dengan bengkel untuk memaksimumkan potensi pembelajaran.

Bengkel Mary merangkumi ceramah dan tunjuk cara mengenai bagaimana menyediakan makanan sihat dan berkhasiat bagi bayi sehingga mereka membesar ke usia persekolahan.

Satu daripada bahagian penting bengkel itu ialah mengajar ibu bapa bagaimana menanamkan tabiat yang dapat mengoptimumkan pertumbuhan dan pembangunan mereka.

Ehsan : Berita Harian  

Kata Bestari:
Bukan senang nak jadi senang , bukan susah nak jadi susah.