ARTIKEL

 

MINAT TENTUKAN KECEMERLANGAN MATEMATIK.

KECEMERLANGAN dan kemunduran seseorang pelajar dalam mata pelajaran Matematik bergantung terhadap minat pelajar tersebut terhadap mata pelajaran itu.

Kajian yang dilakukan oleh pensyarah Matematik Baharudin Omar, Kamarulzaman Kamaruddin dan Nordin Mamat dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menunjukkan kurangnya minat pelajar terhadap mata pelajaran itu berpunca daripada sikap mereka yang beranggapan Matematik adalah mata pelajaran yang susah.

``Persepsi negatif ini menyebabkan mereka tidak memberi peluang kepada diri menerima mata pelajaran itu sebagai suatu yang mudah untuk difahami,'' kata mereka.

Justeru, mereka mempunyai motivasi yang rendah dalam usaha meningkatkan pencapaian dalam mata pelajaran tersebut.

``Kemunduran para pelajar juga berpunca daripada sikap mereka yang hanya menunggu nota yang diberikan oleh guru tanpa melakukan persediaan sendiri malah lebih suka belajar secara bersendirian berbanding secara berkumpulan.''

``Ini menyebabkan mereka tidak cuba mencari penyelesaian jika menghadapi masalah sebaliknya membiarkan sahaja masalah itu tanpa penyelesaian,'' katanya.

Ketiga-tiga mereka berkata demikian semasa pembentangan kertas kerja bertajuk Faktor Kecemerlangan dan Kemunduran Pelajar di Sekolah Menengah dalam Matematik: Satu Tinjauan pada Persidangan Kebangsaan Pendidikan Matematik 2002 anjuran UPSI di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut mereka, guru-guru pakar dalam mata pelajaran tersebut perlu diperbanyakkan bagi memastikan tahap pencapaian pelajar dalam mata pelajaran tersebut.

``Ini kerana guru yang tanpa kemahiran dan hanya menerangkan formula sahaja akan mengelirukan pelajar sekali gus membosankan mereka dengan pendekatan yang tidak sesuai itu,'' katanya.

Untuk membantu peningkatan pencapaian para pelajar, guru-guru perlu kreatif termasuk menggunakan alat bantu untuk mengajar.

Alat bantu mengajar bukan sahaja memudahkan para pelajar memahami sesuatu konsep itu tetapi mampu memperkukuhkan daya ingatan kerana deria pandang dan dengar digunakan.

``Guru-guru sepatutnya memberikan banyak latihan atau soalan perbincangan semasa pengajaran dan pembelajaran,'' katanya.

Tindak balas dan rangsangan daripada pelajar akan bertambah kukuh melalui latihan yang berulang-ulang.

Menurut mereka, pengaruh rakan sebaya juga mendorong kepada pencapaian yang cemerlang dalam mata pelajaran tersebut kerana personaliti pelajar akan berubah mengikut rentak personaliti rakan sebaya.

Rakan sebaya yang cemerlang dalam mata pelajaran itu akan membantu ke arah kecemerlangan rakannya melalui bantuan, pengaruh dan tahap ilmu mereka.

Ehsan : Utusan Malaysia

Kata Bestari:
Redha Allah itu bergantung kepada redha kedua ibu bapa dan marah Allah juga bergantung kepada marah kedua ibu bapa .