ARTIKEL

 

PELAJAR PEREMPUAN KUASAI STRATEGI BELAJAR.

PELAJAR sekolah menengah yang cemerlang mempunyai kecenderungan pembelajaran berbeza, iaitu pelajar perempuan menguasai strategi belajar bahasa membabitkan tiga kemahiran serentak, iaitu mendengar, membaca dan menulis berbanding lelaki yang hanya menguasai aspek pertuturan.

Zamri Mahamod, Mohamed Amin Embi, Noriah Mohd Ishak dan Juriah Long dari Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dalam kajian mereka mendapati pelajar perempuan juga mempunyai kekerapan tingkah laku mendengar lebih banyak, iaitu 155 berbanding lelaki cuma 57 kali.

Mereka berkata, ini menunjukkan perempuan lebih banyak menggunakan strategi mendengar ketika belajar subjek itu di dalam kelas dan dapatan sama juga bagi strategi membaca, contohnya mereka lebih banyak menggunakan strategi belajar berbanding pelajar lelaki.

Bagi kemahiran menulis pula, pelajar perempuan kekerapannya sehingga 109 kali berbanding 87 kekerapan di kalangan lelaki. Bagaimanapun, dalam kemahiran bertutur, pelajar lelaki menguasainya dengan 167 kekerapan berbanding 147 kali di kalangan pelajar perempuan.

Hasil kajian itu juga mendapati, dari segi tahap kecemerlangan, pelajar perempuan banyak menggunakan strategi berbanding lelaki atau dalam erti kata lain mereka menggunakan banyak strategi ketika belajar bahasa Melayu di dalam kelas.

Dalam kertas kerja bertajuk `Strategi pembelajaran bahasa dari segi jantina pelajar cemerlang: Satu kajian perbandingan’ yang dibentangkan pada `Persidangan Antarabangsa Pendidikan Untuk Semua’ anjuran UKM dan Suruhanjaya Kebangsaan Malaysia Untuk Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) di Hotel Renaissance, Putrajaya, selama tiga hari berakhir semalam, mereka berkata;

“Biarpun kajian itu hanya dijalankan membabitkan mata pelajaran bahasa Melayu tetapi ia boleh diguna pakai untuk menguasai bahasa Inggeris sesuai dengan status bahasa antarabangsa itu yang akan digunakan untuk sebagai bahasa pembelajaran Sains dan Matematik untuk murid tahun satu, pelajar tingkatan satu dan tingkatan enam rendah, tahun depan.”

Empat pendidik terbabit juga berkata, strategi belajar bahasa mengikut kemahiran mendengar, pelajar perempuan lebih banyak mendengar dengan memandang ke hadapan pada kedudukan badan mereka tetap ke arah guru atau rakan sekelas.

Pada masa sama, mereka menumpukan perhatian kepada guru atau rakan sekelas ketika bercakap melalui kedudukan mata yang tetap memberi tumpuan, duduk diam dan kurang ketawa ketika mendengar penerangan guru atau rakan sekelas serta mendengar pengajaran guru dengan raut wajah bersemangat.

Selain itu, pelajar perempuan akan mengangguk kepala sebagai tanda faham apa yang disampaikan oleh guru atau rakan sekelas dan mereka juga menyentuh buku latihan sambil mendengar penerangan guru atau rakan sekelas.

Bagi pelajar lelaki pula, mereka berkata, golongan itu lebih banyak mendengar dengan nada yang lebih jelas, menyebut satu persatu dengan jelas, menggunakan aksi tangan ketika bertutur dan bertutur dengan kurang menggunakan nota atau buku teks ketika memberi pendapat.

Kaedah lain digunakan golongan itu ialah berdiri dengan cepat dan tidak mengambil masa ketika memberi pendapat apabila diminta oleh guru, memberi maklum balas penting setelah diminta dan menyoal guru atau rakan sekelas yang lain bagi mengetahui isi penting.

Empat pendidik itu berkata, berdasarkan strategi pembelajaran mengikut kemahiran membaca, pelajar perempuan lebih banyak membaca dengan nada dan intonasi yang menarik, menyebut satu persatu bahan bacaan, kurang ketawa apabila membaca, memberi tumpuan ketika rakan sekelas membaca dan kedudukan badan mereka juga stabil.

Ini berbeza dengan pelajar lelaki yang membaca dengan nada suara jelas didengar oleh guru atau rakan sekelas dan mengangkat tangan supaya guru memilihnya untuk membaca petikan.

Ehsan : Berita Harian  

Kata Bestari:
Setiap manusia pernah merasai kejayaan dan juga kegagalan dan setiap kejayaan dan kegagalan yang dirasai oleh manusia mempunyai hikmah dan pengajarannya yang tersembunyi disebaliknya.