ARTIKEL

 

PUNCA PELAJAR MELAYU LEMAH BAHASA INGGERIS.

Seminar Kebangsaan Sifat Malu di Kalangan Orang Melayu

SIFAT malu bertutur dalam bahasa Inggeris dikesan sebagai antara punca utama tahap penguasaan pelajar Melayu dalam bahasa antarabangsa itu berada pada tahap lemah berbanding kaum lain.

Keadaan itu sama dengan pelajar Jepun hasil kajian F Anderson (1993). Pakar psikologi itu mendapati kebanyakan pelajar enggan membuka mulut dan tidak mengambil bahagian dalam kegiatan berbentuk komunikasi ketika berada di bilik darjah kerana sikap malu.

Beliau berkata, antara manifestasi sikap malu pelajar Jepun yang ketara dalam kelas bahasa Inggeris adalah, mereka jarang memulakan diskusi, mereka mengelak daripada membangkitkan topik baru, mereka tidak mencabar guru, mereka jarang bertanya untuk mendapatkan penjelasan dan tidak memberi jawapan secara sukarela

Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Imran Ho Abdullah, berkata hasil kajiannya di negara ini, perkara sama berlaku di kalangan pelajar Melayu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan guru bahasa Inggeris berasa kecewa kerana pelajar hanya bercakap apabila dipanggil dan kadangkala berdiam diri.

Beliau berkata, suasana itu menyebabkan pendidik memberi jawapan dulu dan anak didik mereka hanya perlu mengangguk sebagai tanda faham sedangkan mereka kurang memahami pengajaran yang disampaikan.

“Pelajar bukan tidak mahu bekerjasama dengan guru tetapi mereka malu untuk memberi jawapan kerana khuatir menjadi bahan gelak rakan lain,” katanya dalam kertas kerja bertajuk `Sikap malu: Kesannya terhadap penguasaan bahasa Inggeris pelajar Melayu’.

Kertas kerja itu dibentangkan pada Seminar Kebangsaan Sifat Malu di Kalangan Orang Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Imran turut memetik tiga pandangan S Krashen mengenai kaedah terbaik memantapkan penguasaan menggunakan bahasa antarabangsa berkenaan, iaitu pelajar dengan nilai yang tinggi akan melihat diri mereka sebagai pelajar berkebolehan dan lebih sanggup mengambil risiko dalam situasi pembelajaran; pelajar bermotivasi tinggi sanggup belajar tanpa menghiraukan persepsi kurang baik pelajar lain terhadap penguasaan bahasanya.

Satu lagi kaedah ialah tahap kerisauan iaitu pelajar yang risau berasa terkongkong dan umumnya mereka memberi fokus kepada bentuk atau struktur bahasa bukannya aspek komunikasi. Golongan itu biasanya kurang mengambil risiko.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Khaidzir Ismail, pula berkata kebanyakan remaja khususnya pelajar mempunyai sifat malu yang kronik dan keterlaluan.

Menurut Dr Khaidzir dalam kertas kerjanya `Sifat malu di kalangan remaja Melayu’, sifat malu keterlaluan boleh memberi kesan kurang baik kepada perkembangan remaja dan masyarakat di sekeliling mereka.

Ini kerana, perasaan malu boleh mengakibatkan kebimbangan yang tinggi dan penghargaan rendah terhadap nilai diri sendiri, sekali gus menyebabkan mereka lebih suka menyendiri, berada dalam suasana murung dan sering kesunyian.

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Khaidzir Ismail, berkata remaja yang pemalu sentiasa menjauhkan diri dan tidak suka mengambil bahagian dalam kegiatan bercorak kemasyarakatan.

“Lebih merisaukan golongan terbabit tidak gemar meminta pertolongan guru dan kaunselor untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi mengakibatkan kehidupan mereka sentiasa dibebani permasalahan.

“Golongan ini juga dikesan tidak ramai memasuki universiti dan dari segi kerjaya pula mereka lambat memperoleh pekerjaan kerana malu menyambung pengajian atau mencari kerja,” katanya.

Dr Khaidzir berkata, remaja pemalu dianggap mempunyai kebimbangan melampau terhadap penilaian sosial tentang tingkah laku mereka. Golongan itu tidak menyenangi penilaian orang lain terhadap kekurangan mereka.

Katanya, semasa proses interaksi, remaja tidak bersikap pemalu memperlihatkan tempoh berdiam diri yang singkat dan fasih bertutur berbanding remaja memiliki sifat malu.

“Oleh itu, malu adalah masalah peribadi yang memberi kesan terhadap kehidupan seseorang menyebabkan mereka mengalami masalah perhubungan sosial (bergaul atau berinteraksi), tidak minat menyertai kegiatan kemasyarakatan, mengalami kebimbangan, kesunyian dan kurang aktif.

“Dalam erti kata lain, ia adalah masalah psikologikal yang agak serius dan perlu diberi perhatian oleh pihak tertentu,” katanya.

Ehsan : Berita Harian  

Kata Bestari:
Kesabaran itu menguji ketabahan seseorang. Setiap kesabaran yang disusuli dengan keikhlasan akan menjanjikan ganjaran yang lumayan di akhirat.